Belina Shop

PKR Boikot Perlantikan Yang Dipertua MPSP. DAP Mahu 8 Ahli Majlis Dari PKR Undur


BUTTERWORTH: Pakatan Rakyat Pulau Pinang kembali goyah apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semalam bertelagah berhubung pelantikan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang baru, Mokhtar Mohd Jait.

Bibit pertelagahan terbaru itu bermula apabila lapan Ahli Majlis MPSP dari PKR memboikot upacara angkat sumpah Mokhtar yang turut disaksikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kerana mendakwa kerajaan negeri membuat pelantikan itu tanpa berunding dengan PKR.

Ketua Wip MPSP dari PKR, Johari Kassim, juga mendakwa Lim menggunakan Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 yang baru, Mansor Othman, untuk mengumumkan pelantikan Mokhtar kelmarin, sebagai ‘helah’ melepaskan diri daripada persetujuan awal bagi menyerahkan jawatan berkenaan kepada PKR.

Sebelum ini, pergeseran turut tercetus antara DAP dan PKR berhubung isu peletakan jawatan bekas TKM1, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.

Bagaimanapun, isu itu reda selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon maaf kepada Lim berhubung kegagalannya memaklumkan peletakan jawatan Mohammad Fairus.

Dalam episod baru pergeseran kedua-dua parti itu pula, Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Ooi Chuan Aun, mahu lapan ahli majlis terbabit meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Ooi yang juga Ketua Staff kerajaan negeri menegaskan, beliau akan membuat memorandum kolektif dari semua ahli majlis mewakili DAP untuk merujuk tindakan lapan ahli majlis berkenaan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kegagalan lapan ahli majlis dari PKR itu menghadiri upacara berkenaan boleh menyebabkan mereka dihadapkan untuk siasatan atau lembaga disiplin," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada upacara angkat sumpah Mokhtar di Dewan Kenanga, Bangunan MPSP, kira-kira jam 9 pagi semalam, hanya seorang daripada sembilan ahli majlis dari PKR hadir. MPSP mempunyai 24 ahli majlis - 10 DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga dari badan bukan kerajaan.

Lim dalam sidang akhbarnya selepas majlis itu menegaskan, keputusan pelantikan Mokhtar dipersetujui Exco negeri dan meminta ahli majlis dari PKR itu supaya tidak berlagak seperti Exco.

"Ini keputusan exco dan pelantikan itu telah diumumkan oleh TKM1. Mansor yang umumkan perkara ini, macam mana ada masalah pula. Saya minta Mansor selesaikan perkara ini secara dalaman,” katanya mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan.

Mansor yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya siasatan lanjut dapat diadakan.

"Saya nampak juga ada kekosongan (tempat duduk) dan ada beberapa ahli majlis daripada PKR yang tidak hadir. Saya akan hubungi Pengerusi PKR Negeri untuk minta dia siasat," katanya.

Johari yang ditemui pemberita sebelum itu berkata, pihaknya memboikot upacara berkenaan kerana membantah tindakan kerajaan negeri melantik YDP dari kalangan kakitangan awam tanpa berunding dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini sepakat melantik ahli politik sebagai YDP majlis perbandaran sehingga pilihan raya tempatan menjadi kenyataan.

Ketika dihubungi Bernama pula, Johari berkata setahunya Lim tidak memanggil PKR dan Pas untuk berunding, walaupun sudah ada persetujuan di peringkat kepimpinan parti gabungan itu bahawa jawatan YDP MPSP diserahkan kepada PKR.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR Pulau Pinang mendakwa pengumuman yang dibuat Mansor mengenai pelantikan Mokhtar adalah satu helah Lim untuk melepaskan diri daripada persetujuan awal yang dicapai sebelum ini.

"Ini permainan politik Lim dan keputusan mengenai pelantikan itu telah dibuat sebulan yang lalu dan sebaik menjawat jawatan sebagai TKM1, Mansor diminta mengumumkan keputusan berkenaan. Ia seolah-olah satu perangkap kepada Mansor dan PKR," katanya.

Johari berkata, pada peringkat awal dulu, PKR mencadangkan Mansor sebagai YDP MPSP, tetapi berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai TKM1 dan Adun Penanti, Mansor mengambil alih jawatan TKM1 selepas memenangi DUN Penanti pada pilihan raya kecil 31 Mei lalu.

Katanya, beliau berani bertanggungjawab terhadap perbuatan serta kenyataannya itu dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya sebagai Ahli Majlis selepas ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah, mempersalahkan PKR dan Lim berhubung krisis terbaru itu.

“PKR mempunyai masalah dalaman yang perlu diselesaikan segera. Masalah dalaman parti itu berpunca daripada soal kroni. Mungkin pelantikan itu tidak memenuhi keinginan pihak tertentu.

“Lim juga harus dipersalahkan kerana tidak berbincang dengan PKR dan Pas berhubung pelantikan itu. Soal pengagihan jawatan dalam kerajaan negeri sepatutnya dibincangkan terlebih dulu kerana kita adalah kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Mohd Yusni yang ditemui Berita Harian di Muktamar Dewan Pemuda Pas di Taman Melewar, Selangor, berkata beliau juga kecewa dengan Lim kerana sehingga kini permintaannya untuk bertemu dengan Ketua Menteri itu tidak dilayan.

Mengulas krisis terbaru PKR-DAP itu, Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata konsep 'pakatan' tidak wujud dalam kerajaan Pulau Pinang, sebaliknya dikuasai sepenuhnya oleh DAP yang memanipulasi PKR dan Pas.

"Guan Eng menjadikan dirinya sebagai raja. Bukan (Karpal) Singh menjadi raja tapi Lim Guan Eng," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian peralatan elektrik golongan miskin di Pusat Khidmat Penaga.

"Penyokong PKR dan Pas tentu dapat melihat bagaimana pemimpin mereka dipermainkan oleh kelicikan pemimpin DAP, terutama Guan Eng," katanya.

Azhar berkata, kerajaan Pakatan Rakyat juga tidak mempedulikan nasib penduduk luar bandar, sebaliknya lebih mengutamakan masalah dan kebajikan rakyat di kawasan bandar yang majoritinya penyokong DAP.


KEHKEHKEH ITU LE NATIJAHNYA KALAU MASING2 BARU DAPAT KUASA. SEMUA DAH KEMARUK NAK BERKUASA. YANG MABUK KUASA PUN TAK KURANG HEBATNYA NAK MENUNJUK2 KEKUASAAN JUGAK. BAGI YANG TAK DAPAT KUASA MENGAMUK SAKAN MACAM ORANG TAK SIUMAN KAT TENGAH JALAN. AKHIRNYA RAKYAT YANG SEPATUTNYA DAPAT PEMBELAAN, DI PINGGIRKAN BEGITU SAJE SEBAB NAK KEJAR KUASA. ALAHAIII PAKATANN!..LAYANNNNNNNN....

0 comments:

Post a Comment