Antara Dakwah & Politik PAS

IDENTIFIKASI kumpulan dakwah dengan aliran pemikiran tertentu menjadi salah satu ciri utama gerakan dakwah di negara kita. Setiap kumpulan dakwah meyakini bahawa uslub dakwahnya lebih awla (utama) dan lebih asalah (tulen) dari jemaah lain. Ketaksuban pemikiran jemaah seperti inilah sering membawa kepada lahirnya pandangan bersifat ekstrem sehingga memperlekehkan jemaah lain. Malah ada yang sanggup mengkafirkan individu atau jemaah lain.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya perpecahan, persengketaan, benci-membenci, permusuhan dan terungkainya perpaduan di kalangan umat Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu bersengketa maka kamu akan gagal (lemah) dan hilang kehebatan kamu." (al-Anfal:46).

Paling mengelirukan ialah apabila wujud gerakan Islam yang bersifat politik tetapi dalam masa yang sama meletakkan dirinya sebagai organisasi dakwah. Demikianlah Pas yang mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi bergerak dan berdaftar sebagai pertubuhan politik. Gerakan Islam seperti ini melihat 'kuasa politik' sebagai matlamat untuk menegakkan Islam.

Pas mendakwa perjuangannya adalah menentang kezaliman penguasa (kerajaan). Justeru, UMNO yang dilihat sebagai saingan politik dianggap musuh yang perlu dihadapi sebagai satu jihad.

Anggapannya, UMNO adalah jemaah (parti) taghut semata-mata kerana perjuangan UMNO berasaskan nasionalisme. Perjuangan UMNO juga dituduh bersifat sekular.

UMNO sering dikaitkan dengan kekufuran sehingga Mursyidul Am Pas pernah menyatakan perjuangan yang dibawa UMNO tidak melayakkan ahli-ahlinya masuk syurga.

Pas meletakkan dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam tulen mengikut al-Quran dan Hadis. Kerana pegangan itulah maka Pas pernah mengeluarkan fatwa bahawa haram bekerjasama dan bersekutu dengan parti yang tidak mendukung Islam.

Peliknya, sejak Pilihan Raya Umum ke-12, keadaan sudah terbalik. Pas bukan sahaja bersekutu tetapi mempertahankan DAP sepenuh jiwa dan raga. Mungkin inikah ijtihad baru Pas, atau mungkin juga jihad terbaru yang di bawa Pas?

Hari ini, ramai ahli Pas yang terpukau dengan retorik Lee Guan Eng yang kononnya mahu mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Memang tidak salah mencontohi khalifah Islam yang mulia itu tetapi kepalsuan Guan Eng tersingkap apabila beliau pernah menyatakan bahawa menegakkan negara Islam dan undang-undang hudud bukannya matlamat perjuangan pakatan pembangkang dan ia tiada dalam manifesto pakatan pembangkang.

Kenyataan yang sama juga pernah disebut oleh bapanya, Lim Kit Siang. Ini bermakna Pas bersetuju dengan manifesto tersebut yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai perjuangan pakatan itu. Adakah pentadbiran Umar Abdul Aziz sedemikian sifatnya? Khalifah Umar adalah khalifah yang tinggi kewarakan dan ketakwaan serta sangat ikhlas dan telus dalam melaksanakan hukum dan keadilan sosial Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Sighn juga kekal dengan pendiriannya menolak pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam. Karpal pernah mencabar Pas supaya melangkah mayatnya dulu jika mahu melaksanakan agenda menegakkan hukum hudud dan negara Islam yang dicita-citakan Pas. Keangkuhan Karpal terbukti lagi apabila pernah dalam perbahasan di Parlimen beliau mengeluarkan ungkapan "Singh is King". Apa yang tersirat dari ungkapan Karpal itu ialah mencabar politik Melayu-Islam.

Perlu diingat bahawa di antara tujuan politik Melayu di negara ini adalah mempertahankan Islam. Sama ada Pas atau UMNO, kedua-duanya mempunyai cita-cita untuk memelihara agama Islam di negara ini. Dalam hal ini UMNO lebih berupaya merealisasikan hasrat itu. Pas tidak pernah mahu mengakui bahawa UMNO adalah parti yang banyak berjasa dalam menegakkan syiar dan pembangunan umat Islam di negara ini. Sesiapa pun boleh membuat penyelidikan tentang fakta ini. Ia adalah hakikat dan Pas tidak mampu menafikannya.

Benarkah kerajaan yang ditentang Pas itu zalim? Bagi penulis, ia adalah persepsi politik Pas semata-mata. Dalam politik hari ini, pendekatan persepsi adalah pendekatan berkesan mempermain dan mempengaruhi emosi dan minda rakyat.

Kekuatan pembangkang ialah bermain dengan persepsi, bukannya fakta. Ia bukanlah satu pendekatan dakwah yang bijak kerana persepsi politik biasanya tidak bersifat benar, apatah lagi kalau ia cuba dikaitkan dengan kedudukan akidah orang lain.

Hari ini Pas lebih banyak berpolitik daripada berdakwah. Oleh kerana terlalu banyak berpolitik banyak perkara aneh muncul dari Pas. Terbaru ialah tindakan Mursyidul Am Pas "berdoa laknat" untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO. Jika benar Pas mengutamakan kerja dakwah maka tidak sepatutnya perkara ini menjadi amalan Pas. Apa yang dilakukan Pas itu boleh mencemarkan imej Islam bahkan boleh menjerumuskan Islam kepada fitnah.

Sebagai sebuah parti yang mendakwa melaksanakan aktiviti amal Islam serta bercita-cita meninggikan kalimah Allah SWT maka Pas sepatutnya kaya dengan prinsip Islami, adab dan akhlak berasaskan wahyu dan sunah.

Dalam konteks ini, berakhlakkah apabila mendoakan perkara-perkara buruk untuk orang lain? Berprinsipkah apabila menolak usaha perpaduan dengan UMNO yang boleh memperkukuhkan lagi kekuatan ummah di negara ini. Bukankah seruan perpaduan ummah itu adalah prinsip asas yang ditekankan Islam?

Berakhlak dan beradabkah Pas apabila membiarkan beberapa pemimpin bukan Islam yang bersekutu dengannya menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik mereka? Pas sepatutnya tahu tentang keutamaan dalam berdakwah yang jauh lebih besar dari berpolitik. Prinsip dakwah Islami mesti diutamakan dan perpaduan ummah sepatutnya dilihat jauh lebih penting dari memburu kuasa.

Penulis pasti Nik Aziz arif tentang perkara ini tetapi kerana terlalu berpolitik, maka Mursyidul Am Pas itu seolah-olah menjadi seorang ulama yang keliru dalam persoalan mengenai "kuasa politik" dan tanggungjawab mengutamakan "prinsip asas Islam". Lantaran politik dendam maka terkeluarlah pelbagai ucapan dan fatwa yang mengelirukan umat sehingga Islam dilihat sebagai ajaran yang 'aneh'.

Pas seharusnya mengutamakan tanggungjawab dakwah, khusus dalam memimpin fikrah, peribadi dan spiritual masyarakat. Ingatlah bahawa keindahan dan kehebatan dakwah itu tidak terbentuk melalui 'doa laknat' dan perpecahan umat. Seorang pendakwah sepatutnya sentiasa berdoa dengan penuh kesabaran melalui doa-doa yang baik untuk sasaran dakwahnya.

Apa yang berlaku hari ini ialah keghairahan berpolitik Pas tidak banyak membantu tanggungjawab asas itu. Malah dalam kebanyakan hal, cara berpolitik Pas banyak menanamkan bibit-bibit kebencian dan 'kekasaran sahsiah' pengikutnya, bukan personaliti yang budiman.

Hari ini terbukti bahawa kebanyakan pemimpin Pas semakin menjadi keliru dengan perjuangan Pas sebenarnya. Oleh kerana itulah wujud pelbagai masalah dalaman Pas yang semakin membelit kepemimpinan parti itu. Sebagai seorang Muslim saya doakan moga Pas kembali kepada 'fitrah dakwah' yang sebenarnya, bukan hanyut dengan 'ngauman politik' yang terlalu bernafsu memburu kuasa.

0 comments:

Post a Comment