PUTRAJAYA: Sudah sampai ke penghujung jalan bagi bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Munawar Ahmad Anees, yang terpaksa berjuang selama 11 tahun untuk membersihkan namanya atas tuduhan diliwat.
Mahkamah Rayuan, dengan panel Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Hasan Lah dan Datuk Sulaiman Daud hari ini secara sebulat suara menolak permohonannya atas alasan isu yang dibangkitkan itu sudah dipertimbangkan secara penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan.
Munawar telah memohon supaya merit rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan atas kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Sept 2003, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Munawar tanpa mendengar merit kes atas alasan perayu gagal hadir dalam sebarang prosiding rayuan walaupun kegagalannya diperjelaskan oleh peguamnya kepada mahkamah.
Cubaannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 30 Okt 2007.
Beliau kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk semakan tetapi gagal selepas mahkamah itu memutuskan ia tidak mempunyai kuasa semula jadi untuk mendengar perkara itu kerana kes itu berasal dari mahkamah bawahan dan rayuan akhir adalah di Mahkamah Rayuan.
Munawar kemudian memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, mahkamah sama telah menolak rayuan Munawar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak dua permohonannya selepas dia menariknya dengan hak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan sesuai dan wajar.
Dua permohonan tersebut adalah untuk mendapat perintah bahawa Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara menyediakan jadual terperinci pergerakannya semasa tempoh tahanan dan sebuah salinan jadual semua pelawatnya sejak dipenjarakan pada 1998.
Berikutan keputusan itu, sabitan terhadap Munawar, 61, yang menjalani hukuman penjara enam bulan pada 1998 selepas mengaku salah membenarkan Anwar meliwatnya di rumah Anwar di Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara, di sini, pada bulan Mac 1993, dikekalkan.
Munawar telah menjalani hukuman tetapi terus mencabar keputusan mahkamah bagi membersihkan namanya dengan mendakwa beliau dipujuk mengaku salah atas tuduhan itu.
Pada perbicaraan hari ini, peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, menggesa mahkamah memberi satu lagi peluang kepada anak guamnya untuk memperjuangkan kesnya kerana ia adalah hak asas bagi dirinya untuk suaranya didengar dalam mana-mana proses keadilan.
Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud berkata Munawar hanya mahu menghidupkan semula sebuah isu yang sudah pun dibincangkan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.