Belina Shop

Pakatan Rakyat Selangor "Bercerai Talak 1"


Ada yang tersurat dan tersirat di sebalik perkembangan terbaru perhubungan serta kesepakatan antara pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Bibit tidak serasi semakin ketara dalam perhubungan yang baru terjalin 18 bulan itu. PKR menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berasakan dirinya sudah cukup besar dan tidak boleh ditegur.

DAP yang mengisi 13 kerusi DUN pula beranggapan tanpa sokongannya kerajaan PR tidak menjadi realiti. Selaku minoriti dalam kerajaan PR, Pas dengan lapan kerusi DUN pula sentiasa menjana 'isu' supaya kehadirannya dirasakan dan berkesan. PR yang ditubuh tanpa 'hitam putih' menyebabkan komitmen parti komponen sangat longgar dan rapuh.

DAP membelasah Pas dalam isu penjualan arak selain membidas pemimpin Pas tanpa berselindung. Pemimpin tertinggi Pas pula tidak sepatah pun memberi ulasan membela atau membidas isu itu. Cuma akhirnya pemimpin tertinggi PR mengisytiharkan pertelagahan Pas dan DAP di Selangor berhubung isu berkenaan sudah selesai.

Selepas itu timbul pula isu Exco Pas memberi kuasa menahan tanpa waran berkuat kuasa serta-merta akhir Ogos lalu kepada pegawai masjid membabitkan orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah syariah. Akibatnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 'panas' menerima tekanan daripada pelbagai sudut. Ibarat 'lembu punya susu, sapi dapat nama', Khalid tentu tidak selesa dengan keadaan yang dilaluinya sedangkan isu itu dicetuskan oleh pemimpin Pas.

Kelmarin, Exco Pas yang sama membidas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan mahu ia dirombak. Pemimpin Pas itu sekali lagi bertelagah dengan seorang pemimpin DAP lain yang mencabar beliau meninggalkan PR jika tidak lagi mampu bekerjasama secara berkumpulan dalam kerajaan campuran itu.

Ternyata, tiada pemimpin tertinggi PR sanggup tampil memberi komen terhadap ketiga-tiga isu ini. Mengandaikan pemimpin Pas, DAP dan PR di Selangor sebagai anak, maka pemimpin tertinggi PR pula bapa yang sengaja membiarkan anak masing-masing bercakaran. Jika andaian itu tidak tepat maka pemimpin tertinggi PR terbukti tidak upaya mengawal gelagat anak-anaknya di Selangor.

Jika andaian itu tohmahan, maka mereka sebenarnya mahu keadaan itu bertambah buruk dan masing-masing dengan mudah membuat alasan untuk menamatkan kesepakatan dalam PR dan berdiri atas kaki masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. PR sebenarnya menyapu sampah ke bawah tikar. Kelemahan dan pertelagahan ditutup serta disembunyikan sebaik mungkin.

Bagaimana Pas, DAP dan PKR boleh ada keserasian jika perbezaan ideologi politik masing-masing ibarat langit dan bumi. Kalangan sesama pemimpin Pas di Selangor pun sering berbalah kerana ada pemimpin rasa bertaraf senior tetapi dipinggirkan, manakala yang junior dijulang-julang.

Sudah menjadi resam manusia, rasa tidak puas hati akhirnya terpacul dan isu Selcat membuktikannya. Mungkinkah perbalahan PR di Selangor akan merebak ke Negeri Sembilan dan persoalan ini akan terjawab ketika kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 hingga 11 Oktober ini.

0 comments:

Post a Comment